JOHOR BAHRU: Polis berjaya membongkar kegiatan persundalan yang bergiat aktif di sebuah hotel di Jalan Ibrahim Sultan, di sini dengan menahan lapan individu termasuk lima perempuan pelayan pelanggan warga asing, semalam.
Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mereka yang ditahan kesemuanya berusia antara 21 hingga 50 tahun.
Menurut beliau, kesemua mereka ditahan dalam operasi yang dijalankan pada pukul 8.50 malam, semalam.
“Hasil serbuan berkenaan, polis berjaya menangkap dua lelaki warga tempatan, seorang lelaki warga asing dan lima wanita warga asing.
“Selain itu, kita turut merampas satu keping jadual kerja, dua botol minyak, dua keping kondom dan juga wang tunai berjumlah RM230,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Raub, semakan rekod lampau terhadap kedua-dua warga tempatan yang ditahan mendapati mereka mempunyai empat dan satu rekod jenayah lampau masing-masing.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 373/372B Kanun Keseksaan; 55B/6(1)(c) Akta Imigresen 1959, 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan 3(1) Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian 2007.
“Kesemua suspek kini ditahan reman selama lima hari sehingga 16 September,” jelasnya.
Penggerak Daily