JOHOR BAHRU: Polis telah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup arak dan diesel bersubsidi dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM511,121 dalam dua operasi berasingan yang dijalankan di Kempas dan di Skudai, di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Superintenden Fariz Ammar Abdullah berkata, rampasan arak bernilai RM123,271, manakala rampasan diesel pula bernilai RM387,850.
Menurut beliau, operasi pertama melibatkan serbuan terhadap sebuah kenderaan jenis Nissan Navara yang berada dalam keadaan mencurigakan di Kawasan Perindustrian Taman Johor, Kempas pada pukul 1 petang, semalam.
“Pemeriksaan dibuat mendapati terdapat beberapa jenama minuman keras dipercayai diseludup berada dalam kenderaan tersebut. Polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang merupakan pemandu kenderaan.
“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah JBU untuk siasatan lanjut dimana suspek kini direman selama lima hari bermula hari ini. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135 (1(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Fariz Ammar, sementara itu dalam serbuan kedua pada pukul 1 petang juga, pihaknya telah menahan seramai lima lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat dengan sindiket penyeludup minyak diesel bersubsidi di Kampung Sinaran Baru, Skudai.
Menurut beliau, mereka yang ditahan berusia antara 19 hingga 46 tahun.
“Dalam serbuan berkenaan, antara yang dirampas termasuklah 34 buah tangki berkapasiti 1,000 liter, dua buah pam minyak, satu trailer berisi 31,000 liter minyak diesel dan satu tangki besi berisi 800 liter diesel.
“Kesemua suspek dan barangan rampasan kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Sehubungan itu, Fariz Ammar menyeru masyarakat untuk terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah yang berlaku di kawasan mereka agar tindakan tegas dapat diambil terdapat pesalah.
Penggerak Daily