JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan seramai 18 pemandu mabuk dalam Ops Mabuk yang dijalankan malam semalam di lapan daerah secara serentak seluruh negeri ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi berkenaan dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri.
Katanya, menerusi operasi berkenaan, sebanyak 153 saman dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya melibatkan pelbagai kesalahan.
“Sejak 23 Oktober hingga semalam, kita sudah melaksanakan 25 operasi dan membuat 42 tangkapan. Sebanyak 19 daripadanya telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pindaan 2020.
“Pindaan baharu ini melibatkan kandungan alkohol dikurangkan kepada 50 miligram. Sama ada ia berkesan atau tidak, itu bergantung kepada masyarakat untuk mematuhinya,” katanya.
Ops Mabuk yang diadakan bermula pukul 9 malam semalam hingga 2 pagi hari ini itu membabitkan seramai 11 pegawai dan 65 anggota di lapan lokasi sekatan jalan raya (SJR) yang ditetapkan.
Penggerak Daily