JOHOR BAHRU: Polis Johor berjaya menahan seorang lelaki berusia 49 tahun dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM228,495 dalam tiga serbuan berasingan yang dijalankan di sekitar bandar raya ini, awal pagi hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor, Asisten Komisioner Mohd. Afzanizam Yahaya berkata, serbuan itu dijalankan bermula pukul 12.15 tengah malam sehingga pukul 1.40 pagi.
Menurut beliau, ujian saringan air kencing bagaimanapun mendapati suspek lelaki warganegara tempatan itu negatif daripada penyalahgunaan dadah.
“Serbuan itu juga menyaksikan polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah antaranya 2.08 kilogram (kg) jus ekstasi; 1 kg serbuk kafein; 5.7 liter cecair ekstasi, 35.5 gram ketamin; 209 biji pil ekstasi dan 50 biji pil eramin 5 dengan nilai keseluruhan RM228,495.
“Dalam serbuan berkenaan, polis turut menyita wang tunai sebanyak RM7,200 dan seutas gelang emas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sementara itu, dalam Ops Tapis Khas yang dijalankan bermula 18 April hingga 20 April lalu, pihaknya berjaya menahan seramai 265 individu atas pelbagai kesalahan dadah.
Katanya, antara kesalahan itu termasuklah membekal dadah seramai 43 orang; memiliki dadah seramai 65 orang dan penagih seramai 157 orang dimana 42 daripada mereka diambil tindakan mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala 28 suspek pula diambil tindakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
“Operasi berkenaan turut menyaksikan pelbagai dadah bernilai RM35,919 yang boleh digunakan seramai 4,505 penagih berjaya dirampas.
“Selain itu, operasi yang dilaksanakan di seluruh negeri itu turut menyaksikan polis menahan seramai 62 suspek berstatus orang dikehendaki,” jelasnya.
Penggerak Daily