JOHOR BAHRU: Seramai 42 pemandu mabuk termasuk dua wanita ditahan dalam Op Khas Mabuk yang dijalankan Polis Johor di seluruh negeri bermula Jumaat lalu sehingga semalam.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 25 hingga 68 tahun.
“Dalam operasi itu, sebanyak 625 keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan seramai 1,824 individu telah diperiksa. Turut diperiksa sebanyak 1,585 buah kenderaan.
“Kesemua individu yang ditahan dalam operasi berkenaan telah dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut. 41 daripada mereka disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala seorang yang lain pula disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Kumar, operasi tersebut dijalankan bertujuan mengekang pesalah mabuk yang tegar dan tidak gentar dengan hukuman berat yang telah ditetapkan kerajaan dalam soal tersebut.
“Tiada kompromi terhadap golongan ini dan hukuman berat akan dikenakan setimpal dengan kesalahan dibuat,” jelasnya lanjut.
“Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor akan terus menjalankan operasi seperti ini untuk membendung kesalahan pemandu mabuk secara total,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily