JOHOR BAHRU: Polis Johor berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang baharu beroperasi lebih sebulan lalu dengan kekayaan menangkap 10 ahli dalan satu operasi, kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi yang dijalankan bermula pukul 1.45 petang itu melibatkan tujuh serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri.
Menurut beliau, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 20 hingga 34 tahun, yang terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita kesemuanya warga tempatan.
“Dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun bersama sejumlah dadah, sebelum enam serbuan susulan dibuat dan menangkap sembilan lagi suspek lain.
“Polis bagaimanapun masih memburu empat lagi individu yang telah dikenalpasti termasuk seorang ketua mereka yang masih bebas.
“Dalam siri serbuan itu, polis turut merampas 25.2 kilogram (kg) heroin dan 14 kg serbuk ekstasi yang kesemuanya bernilai RM1.03 juta,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Tambah beliau, jumlah dadah yang dirampas itu dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 172,666 orang penagih.
“Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah dengan menyewa kediaman mewah di kawasan yang berpagar dan berpengawal untuk dijadikan sebagai stor dan makmal memproses dadah.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini menghantar dadah yang dihasilkan untuk kegunaan pasaran tempatan dan juga luar negara, khususnya negara jiran,” ujarnya.
Ayob Khan turut memberitahu, pihaknya turut merampas beberapa bahan kimia, peralatan memproses dadah, empat buah kenderaan dan tiga barangan kemas yang bernilai keseluruhan RM194,000.
Menurut beliau lagi, berdasarkan pemeriksaan dibuat, lima daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan perlakuan jenayah.
“Seorang daripada suspek dikenakan tahanan reman selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala sembilan yang lain disiasat dibawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985,” ujarnya.
Sejak 1 Januari hingga 15 September lalu, Polis Johor telah menahan seramai 9,363 orang atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dan telah membuat rampasan dadah sebanyak 10.95 juta tan bernilai RM352.45 juta.
Penggerak Daily