JOHOR BAHRU: Dua lelaki tempatan yang menyamun warga asing dengan menyamar sebagai anggota polis di sebuah kawasan perumahan di bandar raya ini awal pagi kelmarin berjaya ditahan, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kedua-dua suspek yang berusia 29 dan 30 tahun itu ditahan pada pukul 11 malam.
Bagaimanapun katanya, pihaknya sedang mengesan seorang lagi rakan suspek yang masih bebas.
“Dalam kejadian pada pukul 1.15 pagi Isnin itu, tiga suspek mengumpan mangsa membuka pintu rumah dengan memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
“Mangsa yang terpedaya membuka dan mendapati tiga lelaki berparang. Mangsa dipukul selain barangan berharga antaranya sebuah motosikal, tiga telefon bimbit dan wang tunai bernilai keseluruhan RM6,300 dilarikan,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Tambah Raub, kesemua barangan yang dicuri itu kemudian ditemukan semula selama kedua-dua suspek ditahan, manakala parang diguna turut ditemukan dalam sebuah sungai.
“Kedua-dua suspek mengaku melakukan perbuatan itu dan kedua-duanya mempunyai rekod lampau bersabit kesalahan jenayah dan dadah.
“Ujian saringan awal air kencing juga mendapati mereka positif methamphetamine. Sehubungan itu kedua-duanya ditahan reman selama tujuh hari bermula Rabu lalu,” jelasnya.
Raub turut memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar polis.
Penggerak Daily