JOHOR BAHRU: Satu sindiket rokok kontraban yang sedang melakukan penghantaran menggunakan sebuah lori berjaya ditumpaskan dengan rampasan bernilai lebih RM1.8 juta di Taman Fasa Indah, Jalan Sungai Rengit, Kota Tinggi, awal pagi hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, polis turut berjaya menahan dua lelaki warga tempatan berusia 31 dan 47 tahun.
Menurut beliau, suspek dan rokok dipercayai tidak bercukai itu ditahan pada pukul 3.20 pagi.
“Anggota polis yang melakukan rondaan mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di Taman Fasa Indah, Jalan Sungai Rengit, Kota Tinggi, sebelum melakukan siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kotak berisi rokok tidak bercukai terdapat dalam kenderaan tersebut, menyebabkan kedua-dua suspek ditahan manakala barangan berkenaan dirampas.
“Terdapat 244 kotak mengandungi 12,200 karton rokok dengan anggaran rampasan keseluruhan yang dibuat dalam operasi tersebut adalah RM1,830,000,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Kamarul Zaman, salah seorang suspek turut ditahan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” ujarnya lanjut.
Sehubungan itu, beliau menyeru kerjasama orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti jenayah yang dipercayai berlaku di kawasan mereka dengan menghubungi talian 019-2396318 atau kunjungi mana-mana Balai Polis berhampiran.
“Polis Johor komited membanteras dan memastikan kegiatan penyelewangan barangan kontraban terus berlaku kerana ianya merugikan negara.
“Mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan berkenaan akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang ditetapkan,” tambahnya.