JOHOR BAHRU: Polis berjaya merampas pelbagai jenis rokok dan mercun bernilai keseluruhan RM723,496 dalam satu serbuan yang dijalankan di Jalan Ahad, Kampung Ungku Mohsin, di sini pada pukul 6.50 petang, semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintenden Dimin Awang berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun.
Menurut beliau, operasi tersebut dijalankan berdasarkan maklumat awam yang diterima pihaknya berkenaan rokok dan mercun lari cukai.
“Ketika serbuan dibuat, suspek sedang memandu keluar dari kawasan berkenaan dengan menaiki kenderaan jenis Toyota Avanza.
“Pemeriksaan dibuat menjumpai 15 kotak berisi pelbagai jenis mercun, manakala pemeriksaan lanjut dikawasan sekitar pula menemukan 2,620 karton rokok pelbagai jenama.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan beserta cukai melibatkan rokok, mercun dan juga kenderaan adalah RM723,496,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, suspek dan barangan rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan untuk tindakan selanjutnya.
“Siasatan awal dibuat mendapati suspek bergiat aktif dengan membekalkan rokok dan mercun ke kedai-kedai runcit sekitar bandar raya ini manakala kesemua barangan kontraban itu disimpan di dalam sebuah kontena.
“Tangkapan dan rampasan ini menyaksikan kita berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tiada cukai di sekitar Johor Bahru,” jelasnya.
Penggerak Daily