JOHOR BAHRU: Polis sedang menjalankan siasatan melibatkan insiden seorang penunggang motosikal dipukul seorang penunggang lain di persimpangan lampu isyarat di Tampoi, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa.
Katanya, rakaman video yang memaparkan insiden tersebut turut tular di media sosial termasuk aplikasi TikTok.
“Mangsa yang berusia 29 tahun membuat laporan polis berhubung insiden tersebut pada pukul 4.29 petang semalam. Dia mendakwa kejadian berlaku pada pukul 4.40 petang kelmarin di persimpangan Jalan Tampoi dan Jalan Persiaran Tanjung.
“Ketika mangsa memberhentikan motosikal di lampu isyarat, berlaku perselisihan faham dengan seorang lelaki tidak dikenali yang turut berhenti di persimpangan itu.
“Mangsa mendakwa dipukul beberapa kali di bahagian kepala sebelum suspek beredar dari lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Balveer Singh, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di talian 07-5563122 bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 27 saat tular memaparkan dua penunggang motosikal yang berhenti di persimpangan lampu isyarat sebelum salah seorang daripadanya dilihat memukul kepala mangsa beberapa kali.
Penggerak Daily