JOHOR BAHRU: Empat lelaki tempatan ditahan kelmarin kerana mencuri 355 batang paip saluran kabel elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM234,000 yang diletakkan di kawasan tanah lapang Bandar Dato’ Onn, di sini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, keempat-empat lelaki berusia 33 hingga 57 tahun ditahan di sekitar Johor Bahru dan Kulai.
Menurut beliau, kehilangan batang paip saluran kabel elektrik itu dilaporkan seorang pengurus projek sebuah syarikat telekomunikasi pada 20 Julai lalu.
“Polis kemudian menemukan 228 batang paip saluran kabel elektrik selepas menyerbu sebuah premis di Indahpura, Kulai dengan dipandu arah oleh suspek.
“Turut dirampas, sebuah treler berwarna hijau, serangkai kunci, alat kawalan jauh dan kunci premis kilang yang digunakan untuk menyimpan bahan-bahan curi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Raub, kesemua suspek ditahan tidak mempunyai sebarang rekod lampau manakala ujian urin pula mendapati mereka semua bebas pengaruh dadah.
“Semua suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Penggerak Daily