ISKANDAR PUTERI: Enam samseng jalanan atau mat rempit ditahan polis kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti lumba haram di Lebuh Ismail Sultan di sini, awal pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, kesemua yang ditahan merupakan remaja tempat dan berusia antara 16 hingga 19 tahun.
Menurut beliau, kesemua motosikalnya digunakan mereka disita, manakala 13 notis saman turut dikeluarkan.
“Operasi itu hasil daripada risikan dibuat yang mendapati masih terdapat samseng jalanan yang melakukan aktiviti lumba haram di lokasi berkenaan.
“Antara aksi yang dilakukan termasuklah gaya ala Superman dengan menunggang motosikal sambil menundukkan kepala selari dengan meter dan melunjurkan kedua-dua kaki ke belakang, selain membuat aksi zig-zag.
“Tindakan mereka ini bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri tetapi juga pengguna jalan raya lain,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Kumarasan, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya.
“Ibu bapa diminta memantau pergerakan anak-anak terutamanya yang keluar menggunakan motosikal pada waktu malam kerana terdapat kecenderungan mereka terlibat dengan kegiatan samseng jalanan dan melakukan aktiviti lumba haram.
“Kita juga akan meningkatkan lagi Op Samseng Jalanan bagi membanteras aktiviti yang tidak bermoral ini,” tambahnya.
Penggerak Daily