JOHOR BAHRU: Suspek yang terlibat dalam kejadian pembunuhan melibatkan seorang ibu dan bayi di Kampung Bakar Batu, di sini pada 4 Julai lalu dikenakan sambungan perintah reman bagi membantu siasatan.
Perintah sambungan reman selama tujuh hari terhadap suspek berusia 25 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Suhaila Shafi’uddin di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, reman terhadap suspek akan disambung selama tujuh hari sehingga 18 Julai depan.
Suspek yang merupakan suami dan bapa kepada kedua-dua mangsa kelar itu tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 9.15 pagi dengan berpakaian lokap berwarna oren dan berkaki ayam.
Ketika dibawa turun daripada lori polis, suspek kelihatan tenang dan hanya menurut arahan diberikan pegawai polis yang mengiringinya.
Terdahulu, suspek ditahan polis pada pukul 2.45 petang, 4 Julai lalu selepas disyaki mengelar isteri dan bayi lelakinya di kediaman mereka di Kampung Bakar Batu, kira-kira pukul 12 tengah hari, hari yang sama.
Tertuduh ditahan di Permas Jaya selepas melarikan diri dalam keadaan berbogel dengan menunggang motosikal dimana beberapa rakaman video berhubung kejadian tersebut tular di media sosial.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memberitahu, polis telah mengambil keterangan 11 individu terdiri daripada ahli keluarga dan penduduk setempat khususnya mereka yang menjadi saksi kepada kejadian pembunuhan kejam berkenaan.
“Berhubung kes berkenaan, kita telah merakam keterangan 11 individu terdiri daripada ahli keluarga dan juga jiran-jiran yang menjadi saksi kepada kejadian.
“Sejak ditahan pada 4 Julai lalu, suspek memberikan kerjasama baik dan tidak berlaku sebarang pergelutan dalam penahanan, namun siasatan berhubung punca dan motif kejadian masih dijalankan,” jelasnya.
Dalam kejadian 4 Julai lalu, Hajar Nursyahirin dan bayi lelakinya, Hans Mohd. Thakif, dua bulan ditemui maut di hadapan rumah mereka di Kampung Bakar Batu, dengan kesan kelar di bahagian leher mereka.
Kedua-dua mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu pada pukul 8.10 malam 5 Julai lalu dengan upacara pengebumian dihadiri seramai lebih 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan penduduk setempat.
Penggerak Daily