JOHOR BAHRU: Seorang pengurus sebuah syarikat luar negara memaklumkan syarikatnya kerugian RM2.6 juta setelah terpedaya dalam urusniaga melibatkan import eksport durian Musang King.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, pengadu yang merupakan seorang lelaki warganegara China itu memberitahu, suspek yang menipunya juga merupakan seorang lelaki negara terbabit.
Menurut beliau, bagaimanapun akaun bank yang digunakan bagi membuat pembayaran adalah berdaftar di Malaysia.
“Pengadu memberitahu suspek telah meyakinkannya bahawa dia boleh mendapatkan permit import (AP) sebuah syarikat buah-buahan di Malaysia untuk mengeksport durian Musang King ke Malaysia.
“Setelah pengadu bertemu dengan suspek di China, mereka bersetuju membeli 3,840 karton Musang King sejuk beku bernilai RM2.6 juta dengan transaksi dibuat pada 5 Julai lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kumar turut memberitahu, pengadu mula rasa ditipu apabila barangan yang dijanjikan dalam tempoh sebulan masih tidak tiba sehingga kini, manakala suspek gagal dihubungi.
“Pengadu kemudian telah meminta rakannya di Malaysia untuk mencari syarikat tempatan yang didakwa boleh memberikan AP bagi mengeksport buah tersebut, namun syarikat terbabit menafikan pernah berurusan dengan suspek.
“Pengadu kemudian datang ke Malaysia untuk membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut,” ujarnya sambil memberitahu kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, Kumar menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati apabila membuat urusan melibatkan wang tunai secara dalam talian khususnya dengan individu tidak dikenali.
Penggerak Daily