JOHOR BAHRU: Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim memaklumkan dirinya diserang dua individu tidak dikenali selepas pulang daripada latihan di kawasan latihan skuad itu di sini, malam tadi.
Menurut beliau, ketika berada di dalam kenderaan, dia diserang dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal.
Suspek bertindak memecahkan tingkap belakang kenderaan jenis Honda City menggunakan tukul besi.
Beliau bagaimanapun gagal mengecam suspek dan nombor pendaftaran motosikal yang ditunggang kedua-dua mereka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat memberitahu, pihaknya akan menyiasat kes itu di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat.
“Lokasi kejadian Safiq diserang itu berada di luar ruang lingkup pemantauan kamera litar tertutup (CCTV). Kenderaan mangsa juga didapati tiada dipasang dashcam,” jelasnya.
Sebelum Safiq, dua pemain kebangsaan negara lain yang turut diserang individu tidak bertanggungjawab adalah Faisal Halim yang disimbah asid dan Akhyar Rashid yang disamun dan dicederakan.
Penggerak Daily