JOHOR BAHRU: 13 suspek termasuk sembilan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dikenakan tahanan reman oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan terlibat dalam pemalsuan cop sempadan negara.
Turut ditahan, empat suspek yang bertindak selaku ejen dalam membantu aktiviti jenayah dengan mendapatkan khidmat cop berkenaan bagi warga asing.
Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar, Mohammad Salehuddin Abd. Sani menetapkan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 23 November kepada semua tertuduh.
Difahamkan, anggota JIM terlibat menerima bayaran antara RM100 hingga RM500 bagi setiap pasport warga asing yang diuruskan mereka sejak 2017.
Kesemua tertuduh disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kanan SPRM, Mahadi Abd. Jumaat.
Empat tertuduh yang merupakan ejen diwakili peguam, Noordin Hussein, Baharudin Baharim dan Amarpreet Singh manakala sembilan anggota JIM diwakili peguam, S. Bharathi.
Terdahulu, kesemua tertuduh yang berusia antara 35 hingga 45 tahun dibawa ke mahkamah menaiki sebuah bas pada pukul 9.15 pagi.
Menurut sumber, 13 tertuduh terbabit merupakan antara 43 individu yang ditahan SPRM di Johor dan Selangor, semalam.
Tangkapan berkenaan dibuat di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK), Bangunan Sultan Iskandar, di sini manakala 30 suspek lain ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kegiatan dilakukan suspek dipercayai melibatkan pasport warga asing yang dicop di sempadan negara walaupun pemilik dokumen tidak keluar dari negara secara fizikal.
Penggerak Daily