KULAI: Sindiket mencuri kabel dan komponen telco berjaya ditumpaskan selepas polis menahan tiga lelaki menerusi dua serbuan berasingan di sekitar Bukit Batu, Air Bemban di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee berkata, tangkapan tersebut dibuat menerusi serbuan yang dijalankan antara pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Katanya, ketiga-tiga suspek merupakan lelaki tempatan yang berusia antara 32 hingga 43 tahun.
“Serbuan yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kulai bersama anggota ‘task force’ Balai Polis Air Bemban itu hasil maklumat awam.
“Selain tangkapan suspek, polis turut merampas sebuah kereta beserta anak kunci, tiga telefon bimbit serta pelbagai komponen telco yang dipercayai dicuri di pencawang telekomunikasi,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.
Tambah Seng Lee, semakan rekod lampau mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah.
“Manakala ujian saringan air kencing ke atas semua suspek mendapati mereka positif methamphetamine.
“Siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam enam kes kecurian kabel di pencawang telco sekitar Kulai, sebelum ini,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya masih menyiasat pembabitan suspek dalam kes jenayah lain termasuklah di luar daerah ini.
“Kesemua suspek direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily