JOHOR BAHRU: Polis Johor membongkar taktik baharu digunakan sindiket pengedaran dadah yang menjual peranti vape mengandungi bahan terlarang itu ke dalam pasaran.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, taktik itu dibongkar selepas pihaknya menyerbu sindiket itu yang telah beroperasi sejak dua bulan lalu di sekitar bandar raya ini.
Katanya, seramai tiga individu terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 27 hingga 44 tahun ditahan dalam tiga serbuan berasingan pada Rabu dan Khamis lalu.
“Menerusi serbuan dijalankan, kita merampas 16,345 gram (g) serbuk ekstasi; 225g ketamin; 68.85g syabu; 40g pil eramin 5; 115g pil ekstasi; 14.75g ganja dan 330 mililiter cecair disyaki dadah melibatkan 10 katrij dan lima botol.
“Vape mengandungi dadah ini dijual pada harga mahal, nilai yang dirampas dalam operasi ini adalah RM27,000. Itu antara kaedah untuk kenalpasti jika vape berkenaan mengandungi dadah, harganya mahal,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Tambah Kumar, keseluruhan nilai rampasan dadah dalam kes berkenaan adalah RM2.87 juta, manakala sitaan melibatkan sebuah kereta dan wang tunai berjumlah RM44,160.
“Ketiga-tiga suspek yang ditahan positif dadah manakala dua daripada mereka turut mempunyai rekod kesalahan lampau,” ujarnya.
Sementara itu, Kumar turut memaklumkan kejayaan pihaknya menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah menerusi serbuan dijalankan di sebuah pangsapuri di bandar raya ini pada pukul 3 petang, 15 Oktober lalu.
Menurut beliau, tiga individu ditahan termasuk seorang perempuan yang berusia antara 17 hingga 39 tahun melibatkan rampasan dadah bernilai RM871,068 dan sitaan sebanyak RM156,850.
“Kesemua enam suspek yang ditahan dalam dua operasi tersebut kini direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.
Kumar turut memberitahu, Polis Johor telah menahan seramai 20,137 suspek atas pelbagai kesalahan dadah dengan rampasan dadah seberat 5.7 tan bernilai RM59.36 juta sejak 1 Januari hingga 16 Oktober lalu.
Penggerak Daily