JOHOR BAHRU: Sindiket yang aktif menjual sijil cuti sakit palsu di bandar raya ini berjaya ditumpaskan dengan penahanan enam suspek minggu lalu menerusi beberapa serbuan berasingan di Iskandar Puteri, Plentong, Skudai dan Masai di sini, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, suspek yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia antara 24 hingga 31 tahun.
Menurut beliau, operasi terhadap sindiket itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun pada 17 Oktober lalu.
“Dalam operasi tersebut, kita turut merampas 1,363 sijil cuti sakit disyaki palsu; tujuh kad bank pelbagai jenis; tujuh telefon bimbit; sebuah motosikal jenis Yamaha dan wang tunai berjumlah RM40,000.
“Siasatan awal mendapati, sindiket ini menjual sijil cuti sakit kepada golongan pekerja syarikat dan kilang swasta di sekitar daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, semua suspek telah direman di Mahkamah Johor Bahru bermula 21 Oktober lalu dengan dua daripada mereka telah dituduh di mahkamah sama, Khamis lalu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420, Seksyen 471, Seksyen 468, Seksyen 474 dan Seksyen 472 Kanun Keseksaan serta Seksyen 11 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
“Siasatan lanjut masih dilakukan bagi mendakwa baki suspek yang terlibat.
“Sementara itu, kami juga memohon orang ramai yang mempunyai maklumat atau terkesan dengan aktiviti tersebut tampil membuat laporan di balai polis berhampiran,” ujarnya.
Balveer Singh turut menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam tindakan pemalsuan dokumen kerajaan kerana tindakan itu merupakan kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Penggerak Daily