JOHOR BAHRU: Sindiket pengemis jalanan terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU) ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor selepas enam rakyat China ditahan, Khamis lepas.
Pengarahnya Imigresen Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, kesemua suspek ditahan dalam Ops Serkap dijalankan Bahagian Penguat Kuasa JIM Johor pada pukul 4.20 petang.
Menurut beliau, tindakan tersebut dibuat selepas risikan terhadap kegiatan sindiket itu dijalankan selama dua bulan, hasil maklumat awam.
“Sindiket tersebut menjadikan sebuah kediaman apartmen di bandar raya ini sebagai tempat pertemuan untuk menyerahkan hasil kutipan mengemis mereka.
“Modus operandi digunakan pengemis OKU adalah dengan taktik meraih simpati menggunakan kekurangan dan kecacatan fizikal mereka, selain turut berpura-pura sakit bagi mendapatkan sumbangan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Rusdi, sindiket tersebut didalangi dua wanita warga China yang mengutip hasil mengemis daripada rakan senegara mereka yang berstatus OKU dengan kudung sebelah kaki dan sebelah tangan.
“Dua wanita itu menjadi orang atasan kepada semua lelaki OKU berkenaan, mereka juga mengagihkan imbuhan hasil mengenai kepada semua pihak terlibat.
“Siasatan awal mendapati kesemua pengemis itu mampu meraih pendapatan antara RM2,400 hingga RM12,000 seorang, sebulan. Manakala semua pengemis OKU dipercayai turut menerima imbuhan hingga RM1,200 sebulan,” jelasnya.
Mohd. Rusdi turut memberitahu, kesemua mereka yang berusia antara 51 hingga 63 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155); Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
“JIM Johor memandang serius isu sindiket dalam kalangan warga asing dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat tentang sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily