JOHOR BAHRU: Taktik sindiket penyeludupan menyimpan minuman keras tidak bercukai dalam kenderaan dan premis menjual telefon bimbit di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram dekat sini terbongkar selepas polis membuat serbuan, semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya merampas 52 kotak minuman keras pelbagai jenama bernilai RM44,879.28
Menurut beliau, turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun yang bekerja sebagai juruwang di premis berkenaan.
“Serbuan terhadap premis itu dibuat pada pukul 8.35 malam, dengan 52 kotak minuman keras pelbagai jenama yang dipercayai tidak bercukai ditemukan disimpan dalam premis berkenaan.
“Semakan rekod lampau mendapati tertuduh mempunyai tiga rekod bersabit kesalahan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Sohaimi, selain rampasan minuman keras, pihaknya turut merampas sebuah kenderaan jenis Toyota Camry yang turut dijadikan tempat simpanan minuman keras.
“Suspek kini telah ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” ujarnya sambil memberitahu polis akan terus membanteras kegiatan penyeludupan kerana melanggar undang-undang dan menyebabkan kerugian kepada negara.
Penggerak Daily