JOHOR BAHRU: Taktik licik sindiket penyeludupan menyembunyikan rokok dalam pintu sebelum dihantar ke negara jiran melalui perkhidmatan kurier terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melakukan serbuan di sebuah syarikat penghantaran, di Jalan Kempas Lama, di sini 21 Oktober lalu.
Pengarah JKDM negeri, Sazali Mohamad berkata, serbuan yang dijalankan pada pukul 4.30 petang itu sebahagian daripada Ops Benteng 2020, hasil maklumat risikan.
Katanya, rokok yang dirampas berjumlah 620 karton, bersamaan 124,000 batang dengan anggaran nilai RM49,500, melibatkan cukai bernilai RM86,000.
“Hasil serbuan dibuat, pihaknya mendapati 10 kepingan pintu kayu yang berisi 62 karton rokok seludup setiap satu, menjadikan keseluruhan 620 karton rokok.
“Siasatan lanjut kemudian mendapati kesemua pintu berkenaan dalam proses untuk dihantar ke negara jiran melalui perkhidmatan syarikat penghantaran,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat JKDM negeri, di sini hari ini.
Serbuan tersebut bagaimanapun tidak melibatkan sebarang tangkapan dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Sementara itu, Sazali turut memaklumkan kejayaan pihaknya mematahkan satu lagi cubaan penyeludupan rokok pada 3 November lalu bernilai RM153,120 beserta cukai bernilai RM580,272.
Katanya, serbuan itu dibuat di sebuah premis beralamat di Taman Ekoperniagaan 2, Senai Airport City pada pukul 8 malam.
“Ketika serbuan dijalankan, pasukan menemui sebanyak 150 karton rokok pelbagai jenama disembunyikan dalam sebuah tong berwarna jingga dan di dalam sebuah lori yang berkunci.
“Serbuan ini juga tidak membabitkan sebarang tangkapan,” ujarnya lanjut.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda minimum RM100,000 dan maksimum RM500,000 atau penjara selama enam bulan dan tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.
Penggerak Daily