JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri ditahan polis kerana menghalang anak lelaki mereka yang berusia 13 tahun daripada memasuki rumah sehingga terpaksa tidur di kaki lima perumahan flat keluarga berkenaan di Pasir Gudang, di sini, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pasangan suami isteri berusia 54 dan 56 tahun itu didapati telah mengabaikan kanak-kanak itu sejak 7 Julai lalu.
Sehubungan itu katanya, suami isteri warga tempatan berkenaan telah ditahan reman selama lima hari bermula hari ini.
“Polis yang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu bertindak menyelamatkan kanak-kanak tersebut kelmarin, setelah mengesan video tular berhubung perkara itu.
“Semakan lampau mendapati suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau, namun ujian air kencing kedua-dua suspek adalah negatif,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Sohaimi, kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.
Penggerak Daily