KOTA TINGGI: Pasangan suami isteri etnik Rohingya didakwa atas 13 dan 11 pertuduhan masing-masing di Mahkamah Majistret di sini kerana melakukan jenayah pecah rumah dan menyimpan barang curi.
Norjahan Ismail, 34, dan Muhammad Ibrahim Md. Yusof, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibaca secara berasingan di hadapan Majistret, Nurkhalida Farhana Abu Bakar.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Norjahan didakwa atas 13 pertuduhan melakukan pecah rumah dan menyimpan harta curi melibatkan wang tunai dan barangan kemas di sekitar Kota Tinggi dan Mersing antara Mac 2024 hingga September 2024.
Manakala Muhammad Ibrahim pula didakwa atas 11 pertuduhan melakukan pecah rumah dan menyimpan harta curi melibatkan wang tunai dan barangan kemas di sekitar Kota Tinggi antara Mac 2024 hingga September 2024.
Atas semua kesalahan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda, jika kesalahan dilakukan adalah mencuri maka penjara boleh sehingga 14 tahun manakala kesalahan kali kedua boleh dikenakan denda atau sebat.
Sementara itu di mahkamah sama, tiga anak perempuan Norjahan yang kesemuanya masih dibawah umur serta seorang menantunya, Mohamad Jamal, 19, yang juga etnik Rohingya berdepan satu pertuduhan masing-masing kerana berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan sah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohamad Jamal serta tiga kanak-kanak perempuan yang berusia 13, 14 dan 17 tahun itu didakwa telah berada dalam negara tanpa memiliki pas perjalanan sah pada pukul 1 petang, 25 September lalu.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya beserta sebatan tidak lebih enam kali.
Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 14 November depan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid dan Foo Fang Leong manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, L. Mehnagha.
Penggerak Daily