JOHOR BAHRU: Seorang suami ditemukan maut selepas dipukul sehingga mati oleh isterinya sendiri dalam satu kejadian di kawasan perumahan Flat Nipah, Taman Daya, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat yang mengesahkan perkara itu berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di dalam rumahnya.
Menurut beliau, mangsa dikenali sebagai Lee Ming How, 44, manakala suspek berusia 35 tahun.
“Polis mendapat panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7.50 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian dan berjaya menahan suspek di kawasan sekitar.
“Anak lelaki sulung pasangan itu merupakan saksi kepada kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Tambah Raub, suspek akan dikenakan perintah reman manakala motif dan senjata digunakan suspek masih dalam siasatan polis.
“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Sementara itu, menurut sumber, suspek ditemukan dalam keadaan kakinya terikat dan terdapat kesan lebam di bahagian sebelah kanan mukanya.
Sumber turut memberitahu, suspek telah ditahan polis dikawasan sekitar kira-kira pukul 9.40 pagi tadi ketika dipercayai cuba melarikan diri.
Menurut seorang jiran, Zaidah Neng, 46, pasangan suami isteri berkenaan kerap bergaduh sesama mereka dan wanita tersebut pernah ditahan polis sebelum ini.
“Saya memang kenal pasangan suami isteri berkenaan, tetapi kami tidaklah terlalu rapat cuma dia selalu datang beli burger digerai saya.
“Wanita berkenaan baik sahaja orangnya, cuma dia seperti ada masalah mental, jadi ada ketikanya dia akan bertindak garang dan kerap marah-marah.
“Tetapi saya tidak faham apa yang diperkatakan wanita itu kerana dia bercakap berseorangan dalam bahasa Mandarin,” katanya kepada pemberita selepas ditemui di kawasan berkenaan.
Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk siasatan lanjut kira-kira pukul 11 pagi tadi.
Penggerak Daily