JOHOR BAHRU: Seorang suspek jenayah pecah rumah bukan sahaja ditangkap polis, tetapi turut mengalami kecederaan selepas terjatuh daripada bumbung premis kediaman yang mahu dirompaknya.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan di Jalan Bertam, Taman Daya, di sini.
Menurutnya, kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 2 pagi, hari ini.
“Dalam kejadian itu, polis mendapat maklumat daripada orang awam berlaku kejadian pecah rumah di kawasan berkenaan.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Taman Setia Indah di kejarkan ke lokasi, sebelum melihat suspek di atas bumbung kediaman.
“Suspek kemudian terjatuh daripada bumbung berkenaan ke kawasan parkir sebelum ditahan polis sejurus kemudian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Padzli, siasatan dibuat mendapati tiada sebarang barangan curi dimiliki suspek ketika ditahan, sebelum suspek yang cedera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Semakan rekod mendapati suspek memiliki lima rekod jenayah lampau dan satu rekod berkaitan kesalahan dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan manakala siasatan lanjut masih dijalankan,” ujarnya lanjut.
Penggerak Daily