JOHOR BAHRU: Seorang wanita yang menyamar sebagai hantu untuk menakutkan pemandu di Jalan Austin Heights Utama di sini sejak beberapa minggu lalu telah berjaya ditangkap polis, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya melakukan operasi selama tiga minggu sebelum berjaya menahan suspek berusia 31 tahun itu.
Menurut beliau, siasatan awal dibuat mendapati wanita gelandangan itu mempunyai rekod kesihatan mental iaitu kemurungan pada tahun 2022 dan 2023.
“Pada 27 Julai lalu, kita kesan video tular memaparkan seorang wanita menyamar hantu dan menyerah kenderaan awam pada waktu malam di laluan berkenaan.
“Sehubungan itu, operasi telah dijalankan untuk menahan suspek. Beberapa operasi dijalankan gagal mengesan suspek namun anggota memaklumkan mendengar bunyi mengilai-ilai sepanjang operasi.
“Selepas tiga minggu, wanita itu berjaya ditahan pada pukul 10.51 malam, semalam,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, di sini hari ini.
Tambah Raub, siasatan awal dibuat mendapati modus operandi digunakan suspek adalah untuk menyergah kenderaan awam dan sekiranya berlaku pelanggaran, suspek akan mengugut pemandu untuk ganti rugi.
“Semakan lampau mendapati wanita itu mempunyai satu rekod jenayah, manakala ujian urin menunjukkan dia negatif penyalahgunaan dadah.
“Wanita itu telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) pagi tadi bagi tujuan pemeriksaan kesihatan dan polis sedang menunggu laporan selesai,” ujarnya.
Sementara itu, Raub turut meminta kerjasama orang ramai yang pernah menjadi mangsa ‘hantu’ tersebut untuk membuat laporan polis bagi membantu siasatan.
“Setakat ini kami masih belum terima sebarang laporan polis berhubung kejadian tersebut,” katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan; Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan juga Peruntukan 23 Peraturan-Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959.
Baru-baru ini tular rakaman video menunjukkan seorang wanita berpakaian hitam yang menyergah pengguna jalan raya di Jalan Austin Heights Utama, di sini pada waktu malam.
Penggerak Daily