JOHOR BAHRU: Tiga remaja termasuk dua yang masih dibawah umur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas dakwaan menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun, dua minggu lalu.
Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh telah mengaku bersalah terdahulu selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret, R. Salini.
Namun setelah melihat ketiga-tiga tertuduh kurang memahami Bahasa Melayu ketika permintaan rayuan dikemukakan, mahkamah kemudian meminta pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin.
Selepas itu baharu tertuduh, Jonathan Yet, 18, bersama dua rakannya yang berusia 15 dan 17 tahun menukar pengakuan mereka kepada tidak bersalah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka secara bersama telah menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di Jalan Serampang, di sini pada pukul 5.15 petang, 12 Disember lalu.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sampai tujuh tahun dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shamira Mohd. Luthfi Ismail, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan memohon jaminan sebanyak RM8,000 kepada semua tertuduh, sebelum mahkamah menetapkan jaminan RM2,500 untuk setiap tertuduh, bagaimanapun dua tertuduh yang masih dibawah umur perlu dijamin ibu bapa atau penjaga.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 23 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan laporan sosial dan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat memberitahu, ketiga-tiga suspek tersebut ditahan di Pontian pada 21 Disember lalu.
Menurut beliau, ketiga-tiga mereka bersama seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun telah bertindak menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah RM300,000.
Cubaan menculik itu bagaimanapun gagal apabila bapa mangsa, seorang warga China yang mempunyai taraf penduduk tetap Singapura berjaya menghalang menyelamatkan kanak-kanak tersebut.
“Bapa mangsa bagaimanapun mengalami kecederaan parah khususnya di bahagian muka akibat insiden itu,” katanya lanjut.
Bapa kanak-kanak tersebut bertindak mengejar kenderaan dinaiki suspek yang menculik anaknya sebelum merempuh kenderaan itu menggunakan kenderaannya menyebabkan dia mengalami kecederaan.
Suspek terus cuba melarikan diri sebelum bapa mangsa menemukan kenderaan suspek ditinggalkan di tepi jalan kira-kira 3 kilometer daripada lokasi kejadian dia merempuh kenderaan tersebut.
Dia kemudian menemukan anaknya berseorangan di dalam kenderaan tersebut, manakala kesemua suspek telah melarikan diri.
Tambah Raub, suspek utama, iaitu seorang mekanik kenderaan dan rakan kongsi kepada warga China itu, berjaya ditahan polis pada pukul 8 malam di hadapan Balai Polis Taman Pelangi, pada hari sama kejadian culik berlaku.
Penggerak Daily