JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan tujuh suspek yang terlibat dengan sindiket pinjaman wang haram atau ah long menerusi dua serbuan berasingan yang dijalankan di dua unit kediaman di Impian Senibong Apartment, di sini hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek ditangkap merupakan warganegara tempatan berusia antara 21 hingga 25 tahun.
Menurutnya, serbuan bermula pukul 7.45 pagi itu dijalankan sepasukan tiga pegawai dan 12 anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah.
“Dalam serbuan pertama, kita menahan seramai tiga suspek lelaki selain turut merampas wang tunai berjumlah RM9,000, nombor plat palsu, tong cat, buku nota hutang dan simkad nombor Singapura.
“Sementara itu, dalam serbuan kedua pula, seramai empat lelaki ditahan. Turut dirampas wang tunai RM3,000, risalah iklan, kad nama, cat merah dan telefon bimbit,” katanya kepada pemberita selepas menyertai serbuan yang dijalankan.
Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Datuk Md. Yusof Ahmad.
Ayob Khan turut berkata, sindiket berkenaan dipercayai mula bergiat aktif dengan kegiatan itu di sekitar bandar raya ini sejak tahun lalu.
“Berdasarkan siasatan awal, kesemua suspek ditahan menerima gaji bulanan berjumlah RM2,500 untuk menjalankan kerja-kerja ah long, termasuk melakukan ugutan terhadap mangsa.
“Ini merupakan operasi ketiga yang dilakukan melibatkan sindiket ah long dimana sejak Januari, seramai 49 suspek telah ditahan dan 54 kertas siasatan dibuka dengan 27 daripadanya mereka telah dikenakan tindakan undang-undang,” ujarnya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan masih terdapat saki baki anggota sindiket ah long ini atau yang berkaitan dengan tujuh yang ditangkap hari ini.
Sementara itu, Md. Yusof pula memberitahu, modus operandi sindiket ini dipercayai dengan membuat ugutan secara berperingkat bagi menakut-nakutkan mangsa yang membuat pinjaman dengan mereka.
“Peringkat pertama, mereka akan menampal gambar mangsa di kediaman untuk memalukan mangsa, sebelum bertindak menyimbah cat merah pada peringkat seterusnya.
“Sekiranya mangsa masih tidak membayar, sindiket ini akan membakar bahagian pintu kediaman mangsa. Ada antaranya yang turut bertindak mengunci pintu pagar kediaman mangsa,” tambahnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506, 427, 435/436 Kanun Keseksaan, Seksyen 5(2) Akta Pemberian Pinjaman Wang 1951 serta Akta Pencegahan Jenayah 1959.
Penggerak Daily