JOHOR BAHRU: Tujuh operator sindiket perjudian atas talian ditahan polis selepas kediaman mereka yang dijadikan ‘calling centre’ di Senibong, di sini di pada pukul 2.30 petang, dua hari lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, kesemua suspek warga tempatan itu berusia lingkungan 18 hingga 22 tahun.
Katanya, dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas 15 telefon bimbit, satu kad akses rumah, tujuh buah komputer riba, tujuh tetikus, empat modem wifi, 11 keping simkad starhub, tiga buah meja dan tujuh kerusi dipercayai digunakan untuk kegiatan pertaruhan dan promosi judi online.
“Sindiket ini dipercayai beroperasi selama 12 jam sehari bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam dan mereka ditawarkan gaji sebanyak RM2,000 sebulan selain di bayar komisen bergantung kepada keuntungan dari hasil perjudian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Padzli, semakan awal mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan kini reman selama satu hari.
Kes disiasat mengikut Seksyen (4)(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM50,000 dan hendaklah dikenakan penjara maksimum tiga tahun.
Penggerak Daily