JOHOR BAHRU: Seorang warga emas berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah lebih RM1.8 juta lesap selepas terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian melalui kaedah penghantaran barangan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, mangsa, iaitu seorang lelaki berusia 67 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut, semalam.
Katanya, mangsa memaklumkan telah mengenali seorang wanita yang mendakwa seorang warganegara Brazil dan bekerja sebagai doktor di United Kingdom melalui laman sosial Facebook pada Mei lalu.
“Setelah mangsa dan wanita itu berkenalan kira-kira dua minggu, suspek berjanji untuk mengirimkan barangan dan wang tunai berjumlah RM2.8 juta kepada mangsa.
“Namun pada 13 Jun, seorang wanita lain yang mengaku sebagai ejen penghantaran barang menghiburkan mangsa dan meminta bayaran cas servis penghantaran.
“Mangsa kemudiannya melakukan 11 transaksi pemindahan wang dalam talian kedalam beberapa akaun bank diberikan suspek membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM1,871,540,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Rupiah, mangsa yang merupakan seorang pesara swasta hanya menyedari ditipu setelah tidak menerimanya barang yang dijanjikan sehingga kini, selain kedua-dua wanita yang berurusan dengannya sebelum ini gagal dihubungi.
“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
“Polis menggesa orang awam yang menerima tawaran meragukan daripada mana-mana pihak agar berhati-hati dan melaporkan kepada polis bagi mengelak diri mereka menjadi mangsa penipuan,” ujarnya.
Penggerak Daily