JOHOR BAHRU: Seorang warga emas wanita mengalami kerugian lebih RM1 juta selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam sindiket yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu, semalam.
Katanya, mangsa memberitahu dia dihubungi seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai LHDN dan memaklumkan mangsa terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram awal bulan ini.
“Panggilan itu turut disambungkan kepada seorang lagi individu lelaki yang menyamar sebagai seorang pegawai polis dengan memperkenalkan diri sebagai Mr. Yong.
“Mangsa yang berasa takut mengikut arahan diberi iaitu membuka sebuah akaun bank selain memberi nombor siri kat ATM dan nombor pin akaun kepada suspek.
“Di antara 3 hingga 17 September, mangsa telah memindahkan wang sebanyak RM1,032,513.65 daripada beberapa akaun miliknya ke dalam akaun terbabit selain turut memberi nombor TAC kepada suspek,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Menurut Ayob Khan lagi, mangsa hanya menyedari ditipu selepas membuat semakan terhadap akaun berkenaan semalam dan mendapati kesemua wang berkenaan sudah tiada.
“Sehubungan itu kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 1 tahun atau tidak lebih 10 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan,” ujarnya.
Sehubungan itu Ayob Khan mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan peka dengan trend jenayah semasa yang berlaku terutamanya yang berkaitan dengan pemindahan wang secara atas talian.
“Orang ramai juga boleh menggunakan aplikasi semakan atas talian yang diperkenalkan pihak berkuasa seperti ‘Semak Mule’ sebelum melakukan sesuatu transaksi,” katanya lagi.
Penggerak Daily