JOHOR BAHRU: Seorang anggota polis maut, manakala tiga individu lain cedera selepas terlibat dalam sebuah kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kangkar Tebrau, Kampung Kangkar Tebrau, di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau, Pegawai Bomba Kamsani Aswan berkata, kemalangan itu dilaporkan berlaku pada pukul 6.24 pagi.
Sehubungan itu, tujuh anggota beserta dua buah jentera digegaskan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan berkenaan membabitkan sebuah kenderaan peronda MPV Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan sebuah kenderaan awam jenis Perodua Aruz.
“Akibat kemalangan itu, penumpang kenderaan peronda MPV PDRM maut di lokasi kejadian, manakala pemandunya cedera.
“Turut cedera, pemandu dan seorang penumpang kenderaan Perodua Aruz,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Kamsani, anggota polis yang maut kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail.
Operasi berkenaan kemudiannya ditamatkan pada pukul 8.07 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa menerusi status dimuat naik dalam laman Facebook rasmi Polis Johor.
Penggerak Daily