JOHOR BAHRU: Atlet kayak negara yang sedang menuntut di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), di sini cedera parah dipercayai dilanggar dan dirempuh seorang pemandu mabuk.
Kejadian itu dilaporkan berlaku di Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) menuju ke Southkey, di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan kejadian tersebut.
Sementara itu, Persatuan Pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PIS dalam satu kenyataan memberitahu, Siti Nurul Masyitah Md. Elias, 22, merupakan penuntut semester enam jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal.
“Menurut saksi dan rakaman, sebuah kereta yang disyaki memandu dalam keadaan terhuyung hayang telah melanggar mangsa dan diseret sejauh lebih kurang 600 meter.
“Mangsa sekarang dirawat di Hospital Columbia Asia kerana mengalami kecederaan yang sangat serius,” menurut kenyataan itu.
Tambahnya, mangsa sering berulang alik dari Politeknik ke rumah kerana menjaga ibu bapanya.
“Ibu mangsa mempunyai masalah tulang belakang akibat kemalangan manakala bapa mangsa tidak sihat dan memerlukan rawatan dialisis.
“Mohon doakan kepada mangsa agar dipermudahkan segala urusan dan diberikan kesembuhan,” tambah kenyataan itu lagi.
Siti Nurul Masyitah merupakan salah seorang atlet sukan kayak dan Dragon Boat Malaysia yang telah memenangi pingat Perak ketika temasya Sukan Sea 2023.
Penggerak Daily