MELAKA: “Walaupun saya tahu dia telah meninggal dunia, mulut saya tetap mahu mengajarkan dua kalimah syahadah selepas duduk bersila di sisinya, selain bacaan ayat suci al-Quran,” luah Roslan Ramlan, 54.
Roslan yang juga bapa mentua mangsa kemalangan maut, Muhammad Zulhilmi Razali, 26, sebelum itu keluar rumah bersama-sama dengan menaiki motor berasingan untuk pergi ke tempat kerja masing-masing.
“Saya berada di belakang dia dan merancang berhenti singgah di kedai berdekatan untuk bersarapan, namun mungkin Allah telah gerakkan hati untuk membatalkan niat itu dan meneruskan perjalanan.
“Kira-kira lima minit selepas itu saya ternampak kemalangan dan berhenti untuk melihat keadaan mangsa dan sangat terkejut apabila melihat mangsa yang terlibat adalah menantu saya sendiri,” katanya ketika ditemui di sebuah tanah perkuburan Islam di Bukit Duyong, di sini sebentar tadi.
Utusan sebelum ini melaporkan, Muhammad Zulhilmi meninggal dunia selepas motosikal jenis Yamaha LC135 yang dinaiki merempuh bahagian hadapan sebuah Perodua Myvi dipandu wanita berusia 38 tahun di Jalan Bukit Katil, pagi tadi.
Mangsa yang baru mendirikan rumah tangga pada Mac tahun lalu turut meninggalkan seorang balu dan bayi perempuan berusia 10 bulan.
Terdahulu, suasana sebak Roslan terduduk bersila membaca ayat suci al-Quran di sisi jenazah di tempat kejadian sempat dirakamkan oleh orang ramai dan tular di Facebook.
Sementara itu, ujar Roslan lagi, Muhammad Zulhilmi adalah seorang menantu dan juga suami kepada anaknya yang berakhlak tinggi dan amat menyayangi isteri serta keluarganya.
“Arwah sekeluarga tinggal bersama-sama saya dan isteri, jadi kami memang memuji sikapnya yang tidak pernah meninggi suara kepada isteri, membantu anak perempuan saya ke dapur memasak, mencuci pinggan, melipat baju dan sebagainya.
“Saya sudah menganggap Zulhilmi ini seperti darah daging saya sendiri dan pemergiannya ini adalah satu kehilangan yang pastinya dirindui selalu,” katanya sebak.
Sementara itu, isteri mangsa, Nor Hazliza Roslan, 24, yang masih dalam keadaan terkejut atas pemergian suaminya mengetahui kemalangan itu ketika sedang menyusukan anak mereka selepas mendapat panggilan telefon daripada bapanya.
Sumber: Utusan Online