JOHOR BAHRU: Sebuah letupan kecil melibatkan sisa kimia dilaporkan berlaku di premis Dyson Malaysia Development Centre, di Tama Perindustrian Senai, di sini hari ini.
Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Fauzi Awang berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 9.09 pagi.
Menurutnya, seramai 25 anggota beserta lima jentera termasuk Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dikejar ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, anggota mendapati telah berlaku letupan kecil di kawasan yang dijadikan ‘waste storage’ di premis berkenaan.
“Kawasan berkenaan menempatkan pelbagai jenis bahan kimia yang digunakan di kilang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Fauzi, letupan berkenaan tidak melibatkan sebarang kerosakan dan kebocoran bahan kimia, kecuali bau daripada bahan kimia berkenaan.
“Pasukan Hazmat turut mengambil bacaan udara di kawasan berkenaan sebagai langkah pencegahan, manakala kejadian berkenaan tidak melibatkan mangsa.
“Kes berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pihak pengurusan kilang untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Operasi terbabit kemudian ditamatkan pada pukul 12.01 tengah hari.
Penggerak Daily