JOHOR BAHRU: Dua lelaki maut manakala seorang lagi terselamat dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Pontian Lama berhampiran bulatan Taman Desa Skudai, di sini tengah malam tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Suraini Adnan berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori 10 tan dan sebuah kereta Proton Waja.
Menurut beliau, pihaknya dimaklumkan tentang kemalangan itu pada pukul 12.11 tengah malam tadi.
“Setibanya di lokasi, didapati kedua-dua mangsa iaitu pemandu dan penumpang Proton Waja maut di lokasi kejadian dengan seorang daripadanya berada dalam keadaan tersepit.
“Kedua-dua mangsa yang berusia 43 tahun itu telah dikenalpasti sebagai R. S. Ganesh dan S. Parani Kumar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Suraini, pemandu lori yang berusia 36 tahun selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kedua-dua mangsa yang maut telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya sambil memberitahu operasi ditamatkan pada pukul 2.03 pagi.
Penggerak Daily