JOHOR BAHRU: Dua penunggang motosikal termasuk seorang yang dibawah umur cedera apabila kenderaan mereka bertembung akibat mengelak sebuah kereta yang masuk ke simpang di Jalan Masai Kong Kong, Kampung Cahaya Baru di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun cedera parah, manakala seorang lagi remaja lelaki berusia 15 tahun cedera ringan.
Katanya, kejadian yang dilaporkan berlaku pada pukul 9.35 malam berpunca apabila remaja berkenaan cuba mengelak sebuah kereta yang masuk ke simpang jalan menyebabkannya memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lagi motosikal yang berada di belakang kereta terbabit.
“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal berusia 23 tahun cedera parah di bahagian kaki kanan, manakala remaja itu cedera ringan.
“Kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Sohaimi, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
“Sementara itu, pemandu kereta itu sedang dikesan bagi membantu siasatan,” ujarnya lanjut.
Terdahulu, rakaman kejadian itu tular di media sosial melalui akaun Facebook ‘Yaya Hidayah’.
Penggerak Daily