KULAI: Seorang lelaki berusia 21 tahun maut manakala tiga yang lain cedera dalam satu kemalangan membabitkan dua buah lori berhampiran Plaza Tol Skudai, Lebuh Raya Utara Selatan, dekat sini semalam.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, Pegawai Bomba Kanan, Fauzi Che Deris berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 9.38 pagi.
Sehubungan itu katanya, seramai 17 anggota beserta empat buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan tersebut membabitkan dua buah lori iaitu sebuah lori 3 tan dan sebuah lori jenama Hino. Kemalangan itu turut melibatkan empat orang mangsa.
“Mangsa masing-masing adalah pemandu dan kelindan kedua-dua buah lori dimana kesemua mereka berada dalam keadaan tersepit akibat kemalangan itu.
“Seorang maut iaitu kelindan lori Hino dikenali sebagai Muhammad Amirul Asyraf Mohd. Nasir, 21, manakala tiga yang lain cedera,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, mangsa yang maut diserahkan kepada polis manakala tiga yang lain dibawa ke Hospital Kulai untuk mendapatkan rawatan.
“Operasi menyelamat itu kemudiannya ditamatkan pada pukul 10.46 pagi,” ujarnya.
Penggerak Daily