JOHOR BAHRU: Anak sulung kepada Allahyarham Zahari Zakaria, 62, yang maut selepas kenderaan dipandunya terjatuh gaung ke dalam semak di Jalan Jemaluang ke Kota Tinggi, semalam melahirkan perasaan syukur walaupun bersedih dengan kejadian yang berlaku.
Zul Husni Zahari, 39, memberitahu, sebelum dimaklumkan dengan penemuan jenazah ayahnya, dia sekeluarga berasa gelisah kerana bimbang sekiranya kehilangan ayahnya gagal dikesan langsung.
“Sebenarnya, saya sudah menjangka kemungkinan dia terlibat dalam kemalangan, namun apabila mendapat berita ini, pastinya berasa sedih dengan kejadian yang berlaku.
“Tetapi apapun saya tetap berasa bersyukur kerana sekurang-kurangnya jenazah ayah ditemukan awal, jadi boleh lah kami sekeluarga berkumpul untuk menguruskannya dengan segera,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Tambah Zul Husni, bapanya bekerja sebagai juru ukur di Pelabuhan Johor memang menggunakan laluan berkenaan untuk berulang-alik setiap minggu dari kediaman keluarga di Kemaman, Terengganu ke Pasir Gudang, Johor.
“Di sini (Pasir Gudang), dia menyewa sebuah rumah untuk bekerja, dia sepatut sudah bersara namun syarikat tempat kerjanya meminta dia untuk menyambung kontrak pekerjaan, jadi sejak lebih setahun lalu, dia sudah berulang alik.
“Dia bergerak dari Kemaman pada pukul 10.30 malam Ahad lalu, jadi sepatutnya sudah tiba di Pasir Gudang pada pagi Isnin, namun ketika ibu saya menelefon telefon bimbitnya, dia gagal dihubungi.
“Saya kemudian cuba menghubungi tempat kerja ayah, namun mereka memaklumkan ayah tiada. Saya jadi risau dan membuat laporan polis sebelum menularkan kehilangan ayah di media sosial,” jelasnya.
Kehilangan mangsa mula tular di media sosial sejak malam tadi sehingga mendapat perhatian netizen.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edrward Nuing mengesahkan kejadian dimana pihaknya menerima maklumat awam pada pukul 9.10 pagi yang ternampak kereta Perodua Myvi milik mangsa berada di dalam gaung berkenaan.
Beliau memaklumkan kenderaan tersebut ditemui di Kilometer 25 Jalan Kota Tinggi – Mersing pagi tadi.
Penggerak Daily