PASIR GUDANG: Seorang pemuda ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ketika mengunjungi Tasik Hijau di Bukit Lunchu di sini semalam untuk tujuan beriadah.
Mayat mangsa yang dikenalpasti sebagai Mohd. Faiz Daniel Maula Mohd. Nor dan berusia 26 tahun itu ditemukan pada pukul 2.25 petang.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Timbalan Penguasa Bomba II, Ibrahim Omar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 10.22 pagi.
Menurutnya, sehubungan itu seramai 15 anggota beserta tiga buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati mangsa merupakan seorang pemuda lelaki berusia 26 tahun yang mengunjungi kawasan berkenaan untuk menjalankan aktiviti riadah telah lemas.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa terus digerakkan sebelum mangsa ditemui pada pukul 2.45 petang.
“Lokasi mayat mangsa ditemukan adalah pada kedalaman antara satu hingga dua meter pada jarak kira-kira 30 kaki daripada tempat mangsa terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Tambah Ibrahim, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi mencari dan menyelamat tersebut kemudian ditamatkan pada pukul 3.30 petang,” ujarnya.
Penggerak Daily