KULAI: Seorang lelaki rentung selepas kenderaan dipandunya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di di Kilometer 33.3, Lebuhraya Plus, arah Selatan di sini malam tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Khairil Buang berkata, kemalangan itu dilaporkan berlaku pada pukul 11.24 malam tadi.
Sehubungan itu katanya, enam anggota beserta sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, seorang lelaki didapati terperangkap di tempat duduk pemandu sebuah Perodua Myvi yang terbakar kira-kira 80 peratus.
“Perodua Myvi itu terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori treler membawa muatan tanah dan sebuah Proton Iswara.
“Sementara itu, semua mangsa lain telah dikeluarkan orang awam sebelum anggota Bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Khairil, operasi pemadaman api kemudian dilakukan dengan menggunakan sebuah aliran salur bantu.
“Manakala mangsa rentung berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas dan diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut.
“Identiti lelaki yang rentung belum dikenalpasti manakala seorang penumpang perempuan berusia 32 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia setahun yang turut menaiki Perodua Myvi berkenaan mengalami kecederaan,” ujarnya.
Tambahnya, turut cedera ialah dua lelaki berusia 18 dan 22 tahun yang menaiki Proton Iswara sementara pemandu treler iaitu lelaki berusia 33 tahun tidak mengalami kecederaan.