KULAI: Seorang pemandu lori cedera selepas kenderaan dipandunya terbabas dan terbalik ke tepi jalan di Kilometer 26.6 Lebuhraya PLUS Arah Selatan, dekat sini pagi ini.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Datuk Yahya Madis berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8.21 pagi.
Jelasnya, sehubungan itu seramai tujuh anggota beserta sebuah jentera dikejar ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, lori yang membawa muatan makanan sejuk beku itu terbabas ke tepi jalan.
“Manakala pemandu lori yang berusia 24 tahun tersepit di tempat duduk pemandu, sebelum dikeluarkan anggota menggunakan ‘hydraulic cutter’,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian pinggang telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Operasi berkenaan kemudian ditamatkan pada pukul 8.54 pagi.
Ekoran kejadian itu, barangan yang dibawa lori berkenaan turut berterabur di lebuh raya sehingga menyebabkan berlakunya sedikit kesesakan lalu lintas.
Penggerak Daily