JOHOR BAHRU – Seorang pemandu lori yang tersepit gagal diselamatkan apabila lori dipandunya terbabas lalu terbakar di jalan berhadapan RTM Johor Bahru, Jalan Tasik Utara-Larkin, di sini kelmarin.
Kejadian jam 11.46 pagi itu meragut nyawa pemuda yang berusia 23 tahun.
Difahamkan, mangsa cuba mengelak kon yang berada di atas jalan dan terbabas melanggar pokok di bahagian tengah jalan.
Orang awam cuba membantu bagi memadamkan kebakaran dan menyelamatkan mangsa, namun api marak dengan cepat.
Seramai 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin bersama sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), unit bermotor bomba dan pacuan empat roda Toyota Hilux dikejarkan ke lokasi kejadian.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Timbalan Penguasa Bomba, Mohd. Suhaimi Jamal berkata, pemeriksaan mendapati terdapat pemandu lori terperangkap di dalam lori lima tan itu ketika pihak bomba tiba di lokasi.
“Setibanya pasukan bomba tiba di lokasi, didapati benar berlaku kebakaran sebuah lori yang terbabas. Terdapat seorang mangsa yang tersepit dan rentung di dalamnya.
“Anggota bomba membuat pemadaman dan cuba mengeluarkan mangsa. Mangsa disahkan telah meninggal oleh pegawai Kementerian Kesihatan yang ada di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Pasukan operasi bertindak menggunakan satu aliran salur bantu bagi memadamkan kebakaran yang menyebabkan 70 peratus kemusnahan pada lori tersebut.
Penggerak Daily