JOHOR BAHRU: Seorang pemandu lori pasir maut selepas lori ‘tipper’ 25 tan dipandunya terbabas merempuh tembok sehingga terjunam ke dalam ke dalam parit di simpang lampu isyarat Jalan Sultan Ibrahim, di sini semalam.
Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bomba I, Suhaimi Jamal berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian tersebut pada pukul 8.51 pagi.
Sehubungan itu katanya, seramai 20 anggota beserta tujuh kenderaan dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di sana, anggota mendapati terdapat sebuah lori dengan muatan pasir seberat keseluruhan 45 tan telah terbabas sehingga merempuh tembok dan terjatuh ke dalam parit berlumpur menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.
“Kerja-kerja penyelamat dilakukan menggunakan sebuah kren untuk menarik lori berkenaan keluar daripada parit. Mangsa bagaimanapun disahkan mati pada pukul 8.11 malam setelah terperangkap selama 10 jam di dalam kenderaan tersebut selama beberapa jam sebelum berjaya dikeluarkan,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, anak saudara mangsa, Mohd. Qammarul Farhan, 26, memberitahu, ahli keluarga dimaklumkan berhubung kejadian berkenaan melalui aplikasi WhatsApp kira-kira pukul 10 pagi.
“Mangsa, Rosnani Siam, 47, menetap bersama keluarganya di Pekan Nenas, Pontian dan berulang alik setiap hari untuk bekerja sebagai pemandu lori membawa muatan pasir dari Johor Bahru ke Singapura melalui Tambak Johor.
“Dia sudah menjadi pemandu lori sejak lebih 10 tahun lalu dan selama itu tidak pernah terlibat dengan apa-apa kemalangan besar, hanya Kemala kecil sahaja, jadi apabila keluarga dimaklumkan berhubung kejadian ini kami semua terkejut.
“Dia keluar rumah seperti biasa untuk bekerja menghantar pasir ke Singapura dua kali dalam sehari,” katanya yang turut memaklumkan mangsa meninggalkan seorang isteri dan seorang anak perempuan berusia 15 tahun.
Tambah Mohd. Qammarul, pihaknya dimaklumkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu setelah lori berkenaan terjunam dengan bahagian depan terjerumus ke dalam tanah berlumpur.
“Keadaan diburukkan lagi apabila muatan pasir yang dibawa turut menambah berat kenderaan tersebut sehingga terjerumus ke dalam lumpur,” katanya yang merupakan seorang pekerja swasta.
Penggerak Daily