JOHOR BAHRU: Seorang pemandu maut manakala penumpangnya cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 20, Lebuhraya Skudai-Pontian, berhampiran Taman Desa Skudai, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, mangsa maut merupakan seorang lelaki berusia 56 tahun.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu hilang kawalan terhadap Perodua Myvi berkenaan sebelum terbabas dan merempuh pokok di pembahagi jalan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu tersepit dan maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Tambah Rupiah, penumpang yang duduk dibahagian depan kenderaan tersebut turut tercedera.
Menurutnya, kejadian itu akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Inggai Anak Bakau memberitahu, kejadian itu dilaporkan kepada pihaknya pada pukul 1.38 petang.
Sehubungan itu katanya, seramai 11 anggota dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Skudai dikejar ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati Perodua Myvi berkenaan telah terbabit dalam kemalangan dipercayai akibat terbabas sendiri.
“Mangsa yang maut telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala pemandu cedera dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya.
Operasi menyelamat itu kemudiannya ditamatkan pada pukul 2.30 petang.
Penggerak Daily