JOHOR BAHRU: Seorang maut manakala seorang lagi cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas dan merempuh sebatang pokok berhampiran Pasaraya Lotus Seri Alam, Pasir Gudang hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II, Azzuddin Abd. Aziz berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian itu pada pukul 7.28 pagi.
Sehubungan itu, sembilan anggota beserta dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati sebuah kenderaan jenis Proton Persona telah terbabas dan merempuh sebatang pokok.
“Pemandu kenderaan seorang lelaki berusia 33 tahun telah disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala penumpang, lelaki berusia 27 tahun cedera akibat tersepit.
“Anggota kemudian bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa dengan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Azzuddin, mayat pemandu diserahkan kepada pihak polis manakala penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan.
“Operasi tersebut kemudiannya ditamatkan pada pukul 8.44 pagi,” jelasnya.
Penggerak Daily