KULAI: Seramai 24 penumpang sebuah bas ekspres berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka dirempuh dari arah belakang oleh sebuah lori tangki dalam satu kemalangan di Kilometer 16 Lebuh raya Utara -Selatan arah Selatan di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superitenden Tok Beng Yeow berkata, kemalangan yang dilaporkan berlaku pada pukul 4.20 pagi itu menyebabkan bas berkenaan terbabas dan terbalik di laluan bertentangan.
Menurut beliau, kemalangan itu bagaimanapun menyebabkan tiga pemimpin mengalaminya kecederaan ringan, manakala pemandu bas dan pembantunya tidak cedera.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa lori tangki dipandu lelaki berusia 46 tahun dari Sungkai, Perak yang dalam perjalanan ke Johor Bahru telah melanggar bahagian belakang bas ekspres berkenaan.
“Akibat kemalangan tersebut, bas ekspres itu telah terbabas dan terbalik kearah bertentangan, namun hanya seramai tiga penumpang mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Beng Yeow, lokasi kejadian adalah laluan dua hala dengan tiga lorong sehala yang dipisahkan dengan pembahagi besi di tengah-tengah.
“Keadaan lalu lintas ketika itu tidak sibuk, tetapi sedikit gelap dan hanya diterangi lampu jalan pada waktu malam,” ujarnya sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1957.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Jasni Saidin memaklumkan seramai 12 anggota beserta dua buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
Operasi menyelamat ditamatkan pada pukul 5.02 pagi.
Penggerak Daily