JOHOR BAHRU: Tindakan seorang pemandu kereta Proton Saga melanggar lampu isyarat di persimpangan Jalan Nibong 17, Jalan Daya, Taman Daya di sini tengah malam tadi telah mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut.
Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan antara dua kenderaan itu dilaporkan berlaku pada pukul 12.05, tengah malam.
Menurut beliau, penunggang motosikal yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 20-an maut di lokasi kejadian.
“Manakala pemandu kereta Proton Saga yang terlibat sedang dikesan, kerana selepas kejadian itu pemandu berkenaan bertindak melarikan diri.
“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC seorang diri berada di lorong kiri, dari arah Econsave, Taman Daya menghala ke Setia Indah.
“Setiba dilokasi kejadian, kereta Proton Saga tersebut dipercayai telah melanggar lampu isyarat warna merah sebelum merempuh motosikal tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Raub, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal tercampak di atas Jalan Nibong 17 dan mengalami kecederaan di beberapa bahagian tubuh badannya.
“Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Sultan Ismail (HSI) yang turut hadir ke lokasi.
“Sehubungan itu, polis memanggil mana-mana individu yang menjadi saksi kejadian untuk tampil memberikannya maklumat bagi membantu siasatan yang sedang dibuat.
“Mereka boleh berbuat demikian di Balai Polis Trafik IPD JBS atau boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Zulpaka Bambo ditalian 014-8861791,” ujarnya.
Raub turut memaklumkan bahawa kes tersebut disiasat dibawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Shamsul Khomari Bakar pula memberitahu, penunggang motosikal yang maut dikenali sebagai Iskandar Amirul Aiman Zulkafli, 23.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan jalan raya itu pada pukul 11.56 malam.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati telah berlaku kemalangan antara sebuah kereta Proton Saga dan sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135, dengan penunggang motosikal telah meninggal dunia ditempat kejadian,” jelasnya.
Penggerak Daily