JOHOR BAHRU: Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 42.2, Lebuhraya Senai – Desaru, dekat sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, mangsa seorang lelaki berusia 39 tahun maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
“Lori dipandu lelaki berusia 55 tahun itu terpaksa berhenti di lorong kecemasan kerana berdepan masalah pedal minyak tersekat.
“Tidak lama selepas dia berhenti, dia terdengar dentuman kuat dari arah belakang lori sebelum mendapati seorang penunggang motosikal telah merempuh lori tersebut.
“Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir ke lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Sohaimi, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pengguna jalan raya diingatkan untuk sentiasa memandu secara berhati-hati dan mematuhi undang-undang setiap masa,” ujarnya.
Penggerak Daily